Friday, 26 July 2013

Malang ‘saintis mercun’

Kota Bharu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang cuba menghasilkan percikan bunga api dengan mencipta formula menggabungkan belerang daripada lapan mercun bola dan pasir dalam botol plastik 500 mililiter nyaris menyebabkan buta apabila serpihan ramuan itu meletup sebaik dinyalakan dan terkena pada muka serta badannya dalam kejadian di Kampung Padang Embun, Bunut Susu, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Muhammad Nor Hakim Mohd Nawi cedera di mata kanan dan menerima beberapa jahitan pada bahagian kiri mulutnya ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mangsa mencuba eksperimen itu bersama beberapa rakan sekampung di gelanggang badminton 500 meter dari rumahnya, manakala adiknya, Muhammad Nor Aziz Irfan, 9, hanya memerhati dari jauh.
Selepas beberapa saat menyalakan gulungan surat khabar yang dimasukkan dalam botol dari atas, api terpadam sebelum mangsa mengambil gulungan surat khabar itu dan membakarnya dari bawah serta memasukkannya dalam botol sebelum berlaku letupan dan mangsa terkena serpihan ramuan bunga api yang dihasilkannya.

Menurut bapa mangsa, Mohd Nawi Wan Sulaiman, 47, dia terkejut apabila sebaik pulang dari Kota Bharu, rumahnya dipenuhi penduduk kampung sebelum melihat anaknya cedera di muka dan badan.

Katanya, ketika kejadian, isterinya, Rofeah Ibrahim, 47, berada di rumah bersama anak yang lain.
“Muhammad Nor Hakim segera dihantar ke hospital dengan bantuan jiran. Saya bersyukur kerana anak kesembilan daripada 11 beradik itu tidak cedera serius,” katanya ketika ditemui di Wad Anggerik HRPZ II, di sini, semalam.

Mohd Nawi berkata, dia sering menasihati anaknya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bechah Durian, Bunut Susu, Pasir Mas itu supaya tidak bermain mercun kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini, tetapi anaknya ingkar dengan nasihat diberikan sehingga cedera.
Sementara itu, Pengarah HRPZ II Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan yang meluangkan masa melawat mangsa berkata, mangsa mungkin tidak memerlukan pembedahan, tetapi doktor melakukan pemeriksaan pada mata kanannya yang cedera.

Katanya, setakat ini, dua mangsa mercun dirujuk ke HRPZ II dengan Ahmad Fuad Jaafar, 27, dari Kampung Salor, dekat sini, yang cedera di tangan kiri pada 13 Julai lalu menjadi mangsa pertama mercun dirawat di HRPZ II sepanjang Ramadan ini.

No comments:

Post a Comment